Friday, June 17, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011 PERINGKAT SEKOLAH

kepada semua guru dan pelajar, ustaz ucapkan selamat menyambut hari guru 2011, walaupun ustaz tidak dapat bersama meraikan hari ini, atas sebab-sebab yang tidak dielakkan. Kepada semua pelajar, inilah peluang anda untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang anda kepada guru anda yang telah banyak berkorban untuk memastikan anda berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Penghargaan tidak semestinya dalam bentuk hadiah yang mahal, atau jambangan bunga yang memenuhi bilik guru, tetapi paling kurang pun , seungkap ucapan 'terima kasih guru kerana telah bersusah payah mendidik kami selama ini' sudah cukup memadai. Memberi hadiah itu tidak salah,bahkan juga digalakkan dalam Islam. sabda nabi Muhammad s.a.w.
" saling memberi hadiahlah kamu, nescaya ianya dapat menambahkan kasih sayang"

Jika para pelajar boleh menyediakan hadiah yang berharga kepada kawan atau boyfriend (yang mungkin tidak pun berjasa kepada kamu bahkan kadang-kadang menyusahkan), memberikan penghargaan kepada guru itu lebih utama, kerana gurulah yang mengajar kamu untuk hidup sampai kamu meninggal dunia. Seorang kawan tidak mungkin akan bersama kamu selama-lamana, tetapi ilmu daripada seorang guru tetap akan bersama kita sampai bila-bila.

Oleh itu, hargailah pengorbanan seorang guru, jangan lupa sentiasa mendoakan mereka diampunkan dosa oleh Allah , diberikan kebaikan dan terhindar dari keburukan. Ustaz mengambil kesempatan ini juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar bermula dari sekolah rendah sehinggalah universiti, semoga semuanya diberikan rahmah , inayah dan hidayah oleh Allah. Kepada semua pelajar ustaz, satu sahaja pesanan, jangan langgar perintah Allah dalam melakukan sesuatu perkara walaupun ianya bertujuan untuk kebaikan, kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Carilah keredhaan Allah, itu yang lebih utama dari keredhaan manusia.


No comments:

Post a Comment