Tuesday, June 28, 2011

SESI MOTIVASI TING. 5


Bersama pensyarah cemerlang, ramai pelajar menangis bila bercakap soal ibubapa, pengorbanan dan kesusahan mereka menbesarkan kita. Namun , tidak ramai yang menangis bila bercakap soal penderhakaan terhadap Allah, padahal Allahlah yang menciptakan dan memberikan rezeki kepada kita termasuklah ibu bapa kita. Kenapa ya?

WAHAI PELAJARKU, JANGAN TINGGAL SOLAT

Tajuk hari ni ialah Ciri-ciri Mukmin yang berjaya. Ayat surah al-Mukminin ayat 1 hingga 11. Secara tinjauan secara angkat tangan dalam kelas, yang solat penuh hanya dua orang (8.3%) daripada keseluruhan pelajar 24 orang, 5 orang (20.8%)  tak tahu solat, selebihnya (71%) kadang-kadang solat . Itulah realiti remaja sekarang. Kadang-kadang terfikir, apa yang mereka semua buat di rumah dalam 24 sehari yang Allah bagi, padahal solat jika dibuat 5 waktu itu tidakpun sampaipun satu jam. atau susah sangat solat ni. Faktor-faktor yang bermain difikiran masih banyak tetapi perlu lebih kajian, mungkin lepas ni kena buat kajian terperinci. Nasihat ustaz, solatlah, jangan tak solat. Hidup kita hanya sementara........

Wednesday, June 22, 2011

CARA MENGINGATI FAKTA/ISI PENTING SESUATU TAJUK

  1. Baca tajuk sekurang-kurangnya dua kali
  2. Fahami perkara/isi yang hendak disampaikan
  3.  Ambil kertas kajang(sama dilipat menjadi kecil atau ambil  kertas kosong)
  4.  Tuliskan isi-isi penting pada muka pertama.
  5. Baca semula isi-isi penting yang telah ditulis dan fahami
  6.  Sebaik-baiknya gunakan ayat sendiri.
  7. Ulang membaca apa yang anda tulis sebanyak dua kali.
  8. Tulis semula isi-isi penting tersebut dengan tulisan yang cantik dan kemas ( sebaik-baiknya dalam bentuk kad atau kertas kajang yang boleh dibawa kemana-mana)
  9.  Jika anda lupa, boleh lihat buku rujukan utama.
  10. Anda tidak perlu menghafalnya, yang penting ulangi membaca nota kad tadi pada tempat dan masa berikut:
    • Ketika menungggu bas.
    • Ketika guru tiada dalam kelas
    • Sebelum tidur
    • Selepas makan
    • Selepas solat
    • Semasa di kantin
    • Sebelum sesi persekolahan bermula
    • Selepas sesi persekolahan berakhir
    • Di dalam bas
  11. Anda juga boleh menggunakan kad atau nota tersebut sebagai bahan untuk bersoaljawab dengan rakan-rakan.
  12. Tetapkan suatu masa dalam sehari (di sekolah), sekurang-kurangnya 5-10 minit sebagai sesi kuiz anda bersama rakan-rakan (syudy group) yang tidak melebihi 5 -6 orang.
  13.  Masa tersebut boleh dijadualkan secara tetap. Sesi 10 minit ini sangat penting untuk anda mengukuhkan ingatan anda terhadap isi pelajaran.
  14. Sebaik-baiknya sebelum bermula waktu persekolahan ( sebelum waktu pertama) atau semasa rehat. Jangan mengambil masa terlalu lama untuk makan, 10 minit sudah memadai.
  15. Sesi ini boleh dijalankan di kantin ketika menikmati hidangan atau di pondok rehat .

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, June 21, 2011

BAGAIMANA MEMBUAT NOTA SEMASA MENDENGAR PENGAJARAN (DALAM KELAS)

  1. Dengar dengan teliti pengajaran guru. Isi-isu penting dapat dikesan bukan sahaja dengan sebutan ,bahkan juga riak wajah guru.
  2. Baca dahulu topik yang akan diajar.
  3. Jangan salin semua yang disebut oleh guru. Salin maklumat penting sahaja seperti definisi, senarai , formula dll.
  4. Tulisan perlu kemas dan senang dibaca. Sekiranya tulisan tidak cantik, salin semula.
  5. Gunakan simbol atau ringkasan perkataan. (dalam nota sahaja, bukan dalam peperiksaan)
  6. Gunakan ayat sendiri
  7. Langkau garis dan guna kaedah nombor (bukan seperti membuat karangan)
  8. Tandakan perkara yang penting (yang diberi penekanan yang lebih oleh guru) dengan garisan merah atau simbol bintang dll.
  9. Jika tertinggal, jangan bertanya rakan,kerana akan mengganggu konsentrasi proses pendengaran. Semak semula selepas kelas.
  10. Jika ingin membuat idea tambahan mengenai sesuatu idea , tinggalkan ruangan kosong dalam nota anda
  11. Catat apa yang guru tulis di papan putih.
  12. Tuliskan nota dalam pelbagai warna ( biasanya merah , hitam , biru)
  13. Sediakan suatu ruangan kosong (jarak 4-5 cm) disebelah kiri dan kanan nota anda untuk membuat nota tambahan dan mencatat kata kunci.
  14. Semak nota secepat mungkin. Seelok-eloknya pada hari yang sama  untuk membuat tambahan, pembetulan atau pengubahsuaian.
  15. Jika diizinkan guru, anda juga boleh membawa pita rakaman.
CONTOH FORMAT NOTA 

Kata Kunci
(dibuat kemudian)
Nota yang dicatat semasa pengajaran dalam kelas
Nota Tambahan (dibuat semasa membaca buku lain(rujukan)









Monday, June 20, 2011

KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN-TING. 5 BAB IBADAH

KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN
-          Maksud: Menjaga ,mendidik dan menunaikan segala hak-hak anak sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

·         Hukum : wajib melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak.

CARA MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

1.       SEMASA MENGANDUNG
·         Ibu bapa hendaklah
·         Mendekatkan diri kepada Allah dengan cara melakukan ketaatan dan meninggalkan perbuatan maksiat
·         Menunaikan kewajipan agama.
·         Banyak bersabar
·         Melazimi membaca al-Quran
·         Menjaga akhlak
·         Berdoa dikurniakan anak yang soleh
·         Bapa hendaklah
·         Memastikan keselamatan ibu dan kandungannya.

·         Ibu hendaklah
-          Membuat pemeriksaan kesihatan dari semasa kesemasa
-          Makan makanan seimbang
-          Memastikan makan makanan yang halal
-          Banyak berehat untuk menjauhkan tekanan.

SELEPAS MEMPEROLEHI ANAK

1.       TANGGUNGJAWAB TERHADAP BAYI YANG BARU LAHIR
1.       Sunat azan dan iqamah ditelinga bayi
2.       Mentahnik (membelah mulut dengan memberikan makanan yang manis (biasanya kurma yang dihancurkan)- sedikit sahaja.
3.       Menamakan dengan nama yang baik
4.       Mencukur rambutnya dan menberikan sedekah berdasarkan jumlah berat rambut anak tadi dengan nilaian emas atau perak( con. Kalau berat rambut anak 2 gram x RM 120 (nilai 1 gram emas semasa = RM 240).
5.       Melakukan akikah dengan menyembelih kambing atau ternakan al-an’am
* sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran.

2.       PENDIDKAN ISLAM
-          Maksudnya : mengajar anak-anak sejak kecil dengan asas keimanan spt rukun Iman,Islam serta membiasakan mereka dengan mentaati perintah Allah s.w.t.

3.       PENDIDIKAN MORAL
-          Maksudnya : menanamkan prinsip-prinsip akhlak dan budi luhur ke dalam diri anak-anak.
1.       Mengasuh anak-anak dengan adab-adab seperti:
                                                               i.      Bercakap benar
                                                             ii.      Amanah
                                                            iii.      Suka membantu orang yang memerlukan bantuan
                                                           iv.      Menghormati orang tua
                                                             v.      Menghormati tetamu
                                                           vi.      Berbuat kebaikan kepada jiran
2.       Menjauhkan anak-anak daripada sifat tercela seperti:
                                                               i.      Memaki hamun
                                                             ii.      Berdusta
                                                            iii.      Mencuri dan sebagainya
3.       Menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak

4.       PENDIDIKAN JASMANI
-          Maksudnya: penjagaan kesihatan tubuh badan seperti menjaga makan dan minum, tidur , kebersihan dan bersukan.

5.       PENDIDIKAN INTELEKTUAL
-          Maksudnya: pendidikan berkaitan dengan akal dan pemikiran iaitu membentuk pemikiran mereka dengan pelbagai ilmu berkaitan fardhu ain dan kifayah.

6.       PENDIDIKAN ROHANI
-          Maksudnya : mendidik anak-anak dengan sifat positif seperti berani, sabar,cekal dan tekun.
-          Menjauhkan mereka dari sifat negatif seperti benci membenci, malu tidak bertempat, dengki dan pemarah.
-          Matlamatnya ialah agar anak mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna, berfikiran matang, bercita-cita tinggi dan berani.

7.       PENDIDIKAN SOSIAL
1.       Bertujuan melahirkan anak-anak yang berakhlak .
2.       Mereka diajar dengan konsep persaudaraan sesama Islam, adab berziarah, menghormati hak orang lain dan lain-lain.
3.       Mengajarkan mereka batas-batas aurat dan peraturan pergaulan antara lelaki dan wanita.

LATIHAN

1.       Apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran keibubapaan
2.       Senarai tanggungjawab ibu dan bapa ketika mengandung
3.       Jelaskan 3 tanggungjawab ibubapa terhadap pendidikan moral anak-anak
4.       Jelaskan kesan pengabaian terhadap tanggungjawab dalam pendidikan terhadap anak-anak.

BEBERAPA PERKARA KHURAFAT BERKAITAN KEMATIAN

          Bunyi guruh (tagur) yang mendayu-dayu adalah menandakan ada orang yang akan meninggal.
          Berbunyi burung gagak yang bunyinya seakan-akan orang mencarik kain kafan sebagai tanda ada orang akan meninggal.
          Seorang ibu meninggal semasa bersalin, hendaklah dicucuk jarum di bawah ketiaknya, kononnya supaya tidak hidup semula. Lebih-lebih lagi kalau si ibu dan anak kedua-duanya meninggal.
          Memasang pelita (lampu) yang tidak padam-padam selama tujuh hari bermula dari hari kematian, kononnya untuk menyenangkan roh si mati balik ke rumah sebelum ia pergi jauh.
          Meletakkan azimat di bawah ketiak atau badan mayat semasa dikafankan atau ditanam, untuk kemudahan soalan Munkar dan Nakir.
          Berjalan/lalu seluruh keluarga di bawah usungan jenazah supaya kurang rasa sedih atau lebih tepat membuang sial.
          Upacara memulih rumah selepas kematian oleh bomoh atau dukun.
          Menyediakan satu hidangan pada malam hari buat si mati, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat.
          Mengadakan kenduri pada malam ketiga, kononnya malam pecah perut, malam kelima kononnya pecah mata, malam ketujuh kononnya hancur daging, malam keempat puluh bercerai tulang, seratus hari hancur semuanya.
          Mendirikan bangunan atau binaan di atas kubur.
          Percaya kepada Badi.

Sebagai Muslim kita wajib mengakui bahawa tiada kuasa lain selain dari kuasa Allah. Segala yang berlaku terhadap diri kita adalah dari ketentuan dan kekuasaan Allah. 

Sunday, June 19, 2011

TEKNIK BELAJAR DALAM KELAS

1. TEKNIK MENDENGAR

MASALAH-MASALAH PELAJAR MENDENGAR DALAM KELAS
  1. Tidak memberi perhatian penuh.
  2. kurang berminat
  3. Pelajar berbual dalam kelas
  4. Anggap pelajaran payah/susah
  5. Suka berkhayal
  6. Pelajar dalam keadaan sedih dan marah
  7. Kurang perbendaharaan
  8. Pelajar tidak dapat mengenal pasti fakta/isi penting
  9. Suara penyampai kurang jelas/kurang fasih
  10. Tidak minat dengan guru yang mengajar.
TEKNIK-TEKNIK MENDENGAR SECARA BERKESAN

  1. Berikan tumpuan
  2. Tingkatkan minat
  3. Jangan berbual
  4. Jangan bermain/bergurau ketika guru mengajar
  5. Kemukakan soalan sekiranya tidak faham
  6. Berikan tumpuan pada bahan pelajaran yang diterangkan
  7. Kekalkan minda terbuka, jangan ada perasaan buruk kepada guru
  8. Elakkan mengkritik guru yang sedang memberi penjelasan
  9. Buat nota dengan ayat sendiri
  10. Membaca terlebih dahulu supaya anda dapat memahami yang yang diterangkan
- SILA AMALKANNYA UNTUK MENINGKATKAN TAHAP KEFAHAMAN ANDA DALAM KELAS.

Saturday, June 18, 2011

BERAMAL JARIAH TIDAK SEMESTINYA OLEH ORANG KAYA SAHAJA

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. " (surah Aali Imraan:92)

Ayat di atas adalah berkaitan dengan hukum waqaf dalam Islam . Apabila disebutkan waqaf ,maka tergambar bahawa waqaf itu ialah berkaitan dengan waqaf tanah untuk masjid, rumah-rumah kebaikan dan lain-lain lagi yang melibatkan kewangan dan perbelanjaan yang besar. Maka juga tergambar dalam kotak fikiran kita yang dapat melakukannya hanyalah orang yang kaya raya dan berada sahaja. Namun hakikatnya adalah sebaliknya. Waqaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak milknya kepada seseorang pengguna yang harus dan wujud.
Berdasarkan makna ini,maka semua orang yang mempunyai harta yang boleh digunakan boleh melakukan kebaikan dan amal jariah dengan mewaqafkan kepada orang lain.

Apabila turun ayat di atas , maka  ramai sahabat berlumba-lumba mewaqafkan harta masing-masing sehingga diberitakan bahawa lapan puluh sahabat nabi melakukan waqaf harta mereka. Instituti-institusi besar dalam dunia pendidikan Islam seperti Universiti al-Azhar Mesir juga didirikan dengan harta waqaf. Begitulah besarnya faedah waqaf.

Justeru , bagaimana kita mahu melakukan waqaf sedangkan harta kita tidak banyak? semua boleh melakukan amal jariah ini. Anda boleh mewaqafkan apa sahaja harta yang baik untuk orang lain, sebagai contoh para pelajar boleh mewaqafkan sebatang pen untuk digunakan oleh kawannya. Selama mana kawannya menggunakan pen itu untuk menulis ilmu , maka dia juga akan mendapat pahala. atau mewaqafkan al-quran atau surah yaasin untuk dibaca di masjid , maka dia akan mendapat juga jika dibaca orang. Selagi quran itu tidak hancur atau musnah, maka selama ianya dibaca orang yang mewaqafkan telah meninggalkan dunia, pahalanya tetap mengalir sampai ke alam kubur. Begitu juga mewaqafkan mozek untuk dipasang di masjid , maka selagi masjid itu digunakan untuk menunaikan solat , maka selama itulah kita akan mendapat pahalanya. Apalah ruginya kita membelikan sebuah al-Quran yang harganya sekitar RM20, atau surah yaasin RM3 atau sekeping mozek RM 3. Kadang-kadang duit-duit ini kita belanjakan ke jalan yang haram dan makruh lebih banyak daripada kita belanjakan ke arah kebaikan, contohnya ramai orang boleh menghabiskan duit membeli rokok puluhan ringgit seminggu, tetapi derma ke masjid setiap kali jumaat hanya seringgit (itupun kalau menderma), membeli CD lagu dan lain-lain pembaziran harta yang banyak berlaku.
Selain itu, boleh juga kita mewaqafkan harta -harta alih seperti pakaian, berus, periuk belanga bahkan juga buku-buku untuk digunakan oleh orang lain. Bahkan mewaqafkan harta untuk kegunaan di jalan Allah mendapat pahala yang sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
" Sesiapa yang mewaqafkan seekor kuda di jalan Allah kerana keimanannya kepada Allah dan kerana menunaikan janjinya,  maka segala makanan,minuman, tahi dan kencing kuda itu akan dimasukkan ke dalam timbangannya di hari kiamat" (dikira sebagai pahala). Hadis riwayat Bukhari.
Kesimpulannya, bahawa waqaf itu boleh dilakukan oleh semua orang bukan hanya kepada orang kaya sahaja, bahkan kita yang berpendapatan sederhana dan juga pelajar boleh melakukannya. Apa yang penting ialah kesungguhan kita menyediakan bekalan dan amal jariah untuk kehidupan selepas kematian yang lebih abadi .  Wallahu a'lam.

Friday, June 17, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011 PERINGKAT SEKOLAH

kepada semua guru dan pelajar, ustaz ucapkan selamat menyambut hari guru 2011, walaupun ustaz tidak dapat bersama meraikan hari ini, atas sebab-sebab yang tidak dielakkan. Kepada semua pelajar, inilah peluang anda untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang anda kepada guru anda yang telah banyak berkorban untuk memastikan anda berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Penghargaan tidak semestinya dalam bentuk hadiah yang mahal, atau jambangan bunga yang memenuhi bilik guru, tetapi paling kurang pun , seungkap ucapan 'terima kasih guru kerana telah bersusah payah mendidik kami selama ini' sudah cukup memadai. Memberi hadiah itu tidak salah,bahkan juga digalakkan dalam Islam. sabda nabi Muhammad s.a.w.
" saling memberi hadiahlah kamu, nescaya ianya dapat menambahkan kasih sayang"

Jika para pelajar boleh menyediakan hadiah yang berharga kepada kawan atau boyfriend (yang mungkin tidak pun berjasa kepada kamu bahkan kadang-kadang menyusahkan), memberikan penghargaan kepada guru itu lebih utama, kerana gurulah yang mengajar kamu untuk hidup sampai kamu meninggal dunia. Seorang kawan tidak mungkin akan bersama kamu selama-lamana, tetapi ilmu daripada seorang guru tetap akan bersama kita sampai bila-bila.

Oleh itu, hargailah pengorbanan seorang guru, jangan lupa sentiasa mendoakan mereka diampunkan dosa oleh Allah , diberikan kebaikan dan terhindar dari keburukan. Ustaz mengambil kesempatan ini juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar bermula dari sekolah rendah sehinggalah universiti, semoga semuanya diberikan rahmah , inayah dan hidayah oleh Allah. Kepada semua pelajar ustaz, satu sahaja pesanan, jangan langgar perintah Allah dalam melakukan sesuatu perkara walaupun ianya bertujuan untuk kebaikan, kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Carilah keredhaan Allah, itu yang lebih utama dari keredhaan manusia.


Thursday, June 16, 2011

KHUTBAH HARI NI

Hari ini khutbah di Masjid al-Falah , Hill Top. untuk perkongsian bersama. Kandungan khutbah hari ini.

“KESAN ARAK

DALAM KEHIDUPAN MANUSIA”

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah

Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta berusaha melaksanakan segala sunnah Rasulullah S.A.W., mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sidang jumaat yang dihormati,

Apabila kita menyingkap sejarah bermulanya arak diharamkan pada zaman

perkembangan Islam dahulu, jelas membuktikan bahawa mudharat arak yang

membawa kerosakan adalah melebihi manfaat atau kebaikannya. Arak adalah

sejenis minuman kegemaran bangsa Arab pada zaman Jahiliah sebelum

diharamkan, malah sesudah kedatangan Islam sebahagian para sahabat Rasulullah s.a.w. pun masih lagi meminumnya, kerana ketika itu larangan meminumnya belum lagi berkuatkuasa. Arak dijadikan sebagai minuman utama dalam sesuatu majlis serta diterima sebagai suatu adat.

Dalam satu kejadian, seorang sahabat Rasulullah telah mengadakan

keramaian di rumahnya dan di antara tetamunya termasuklah salah seorang

sahabat yang kanan. Apabila arak dijadikan hidangan, hasilnya mereka menjadi

mabuk dan apabila masuk waktu maghrib, beliau mengimami solat maghrib dengan membaca sepotong ayat dari Surah Al-Kaafirun. Akibat mabuk arak beliau telah mengubah ayat dalam surah tersebut tanpa sedar menjadi makna, "Aku sembah seperti apa yang kamu sembah, wahai orang-orang kafir".

Dalam peristiwa yang lain seorang lelaki Ansar telah mengadakan jamuan di

rumahnya dan tetamunya termasuklah seorang Muhajirin. Dalam keadaan mabuk lalu ia bangun dan bersyair dengan memuji kaumnya yang gagah berani sambil menghina dan mencaci kaum Ansar yang dikatakannya sebagai penakut.

Mendengar cacian itu seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah.

Selepas kejadian itu wahyu pun diturunkan iaitu pada Surah Al Maaidah ayat 91:

"Sesungguhnya syaitan mahu menimbulkan permusuhan dan perasaan saling

benci-membenci di antara kamu dengan sebab meminum arak dan permainan judi serta memalingkan kamu dari mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang,maka mahukah kamu berhenti dari melakukan perbuatan yang keji dan kotor itu?"

Semenjak peristiwa itulah arak telah diharamkan secara muktamad oleh Allah

Subhanahu Wata’ala.

Arak sememangnya sinonim dengan alkohol. Ia merupakan perosak

masyarakat sejak zaman berzaman. Ketagihan alkohol secara berterusan akan

mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira serta menyebabkan

kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Alkohol merupakan punca pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Statistik kadar jenayah yang meninggi, kekerapan kemalangan jalan raya, pertambahan kes penyakit mental,bunuh diri, perzinaan dan keruntuhan institusi keluarga di serata dunia menjadi bukti kepada kuasa perosak alkohol.

Pengharaman alkohol atau arak jelas dinyatakan dalam Al-Quran surah Al-

Maidah ayat 90:

$pkšr'¯»tƒ tûïÏ%©!$# (#þqãYtB#uä $yJ¯RÎ) ãôJsƒø:$# çŽÅ£øŠyJø9$#ur Ü>$|ÁRF{$#ur ãN»s9øF{$#ur Ó§ô_Í ô`ÏiB È@yJtã Ç`»sÜø¤±9$# çnqç7Ï^tGô_$$sù öNä3ª=yès9 tbqßsÎ=øÿè? ÇÒÉÈ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan

berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah, adalah perkara keji yang

termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu

berjaya”.

Sidang jumaat yang dikasihi Allah,

Ketegasan hukum Islam menyatakan bahawa peminum arak, pengangkat

dulang arak, orang yang menyediakan arak, yang menjual arak akan terlibat dengan kesalahan dan dosa. Ini bermakna, pendirian agama sangat keras ke atas arak.

Pada zaman ini, sudah ada van atau lori jenama arak pemandunya beragama

Islam. Kita lihat telah ada pemuda-pemuda Islam menjual arak di gerai-gerai

berpayung di tempat-tempat pelancongan atau peranginan, bekerja di kedai atau

pasar raya yang menjual arak dan mabuk terhoyong- hayang kerana arak.

Pada hari ini juga kita telah terdengar muda-mudi Melayu seramai 2,000

orang terlibat dalam Pesta Tarian secara terbuka di Genting Highland yang

menyediakan arak sebagai minuman daripada waktu petang sehingga ke esok

paginya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian 09 Mac 2005.

Barangkali, sudah ada Syarikat Arak di Papan Pertama, Kedua di Bursa

Saham dan sudah ada Kapitalis Melayu, orang Islam yang melabur dalam Sektor

Perkilangan Arak.

Tetapi jelas ketika turunnya ayat mengenai arak apakah ada kesedaran di

kalangan masyarakat Islam yang terlibat dengan arak sama ada minum atau

bekerja atau bergelumang dengan arak dapat berhenti setelah faham dan sedar

bahawa Islam tidak pernah menghalalkan semua aktiviti yang berkait dengan arak ini?.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita bertanya pada diri kita kenapa

arak membawa kesan yang sangat buruk dalam kehidupan manusia dan kenapa ia diharamkan oleh Islam?. Sebahagian sebabnya adalah:

1. Merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman kepada Allah S.W.T dan merosakkan syakhsiahnya.

2. Dari aspek sosial boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, memporak-perandakan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.

3. Merosakkan kesihatan manusia seperti tekanan darah tidak menentu, rosaknya urat saraf, menyebabkan hepatitis, jantung, rosak buah pinggang,kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan, dan gila.

4. Ketagihan arak atau alkohol akan mengakibatkan kehilangan nyawa serta menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia.

5. Kesan panjang alkohol akan membawa perubahan metabolisma kepada akal fikiran, organ hati dan menyekat peranan otak dari berfungsi dengan baik.

6. Kes zina, rogol, sumbang mahram dan AIDS lebih tinggi di kalangan peminum alkohol. Menurut kajian Biro Keadilan Mangsa Jenayah Kebangsaan (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Statistik ini menunjukkan bahawa kebanyakkan perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

7. Menurut statistik rasmi di United Kingdom, alkohol menyebabkan hampir 45-46% kejadian jenayah, ia juga melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga dan kajian juga menunjukkan hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

8. Minum arak adalah ibu segala kejahatan dan merupakan sebesar-besar dosa. Ini dijelaskan oleh hadis Nabi s.a.w. riwayat At-Tabrani:

“Arak adalah ibu segala kejahatan dan ianya adalah sebesar-besar dosa”.

9. Sesuatu yang banyak memabukkan sekalipun sedikit hukumnya tetap haram berdasarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Ahmad, Tirmizi, An-Nasai dan Abu Daud:

“Tiap-tiap suatu yang memabukkan dalam jumlah yang banyak atau sedikit maka

hukumnya adalah haram”.

Oleh itu tidak ada alasan untuk meminum arak walau pun seteguk atau pun

setitik.

10. Orang yang minum arak dan urusan yang berkaitan dengannya akan dilaknat dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi,

Ibnu Majah daripada Anas Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud;

“Sepuluh orang yang dikutuk Allah berkaitan dengan arak ialah pembuatnya,

pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya,

penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.”

Dengan ini jelaslah semua urusan yang berkaitan dengan arak menjadi haram dan dilaknat oleh Allah S.W.T.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hukum Islam menjelaskan, bahawa pesalah minum arak akan dikenakan

hukuman berupa sebatan, sebagaimana dijelaskan oleh hadis Nabi s.a.w. riwayat Abu Daud:

“Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka

minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah

mereka”.

Apa yang penting kita sebagai umat Islam hendaklah ‘akur dengan undang-

undang Jenayah Syari’ah dan mengambil ‘iktibar daripadanya dan tidak terjebak

sama sekali untuk melakukannya. Inilah hikmah pelaksanaan Hukum Syarak, ianya mampu membendung jenayah secara berleluasa. Justeru, di antara tujuan syarak itu diturunkan ialah menjaga akal agar manusia boleh hidup dalam keadaan aman dan tenteram, tidak berpandukan akal yang cacat dan keliru kerana mabuk, yang natijahnya akan membawa kepada kerosakan moral, kecacatan iman, memporak-peranda dan mengacau-bilaukan masyarakat.

$ygƒr'¯»tƒ â¨$¨Z9$# (#qè=ä. $£JÏB Îû ÇÚöF{$# Wx»n=ym $Y7ÍhsÛ Ÿwur (#qãèÎ6®Ks? ÏNºuqäÜäz Ç`»sÜø¤±9$# 4 ¼çm¯RÎ) öNä3s9 Arßtã îûüÎ7B ÇÊÏÑÈ

“Wahai sekalian manusia!, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal

lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya

syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu”.

(Al-Baqarah:168)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن