Saturday, June 30, 2012

AURAT WANITA - SIRI 2




PAKAIAN WANITA DALAM HAYATUL KHASSAH (KEHIDUPAN KHUSUS/PRIVATE LIFE)

Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota keluarganya yang lain. Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syara' tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya, “wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An Nur:31]
Atau sabda Nabi, “lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.
Larangan Bertabarruj
Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An Nur:60 iaitu Firman Allah, “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabarruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [An Nur:60]

Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [Al Ahzab:33]
Dan Hadis Rasulullah  riwayat dari Bazzar dan At Termizi menjelaskan, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya”.

Abul A’la al Maududi berkata, “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna :
(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);
(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].
Penutup

Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum) menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian.

AURAT WANITA -SIRI 1







Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.
Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya” [An Nur:31].

Yang di maksud (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "Janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan". [Lihat Abu Bakar Al Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316]. 

Selanjutnya, kalimah (kecuali yang (biasa) nampak darinya), ini bermaksud ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah.

Ibnu Jarir At Thobari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami' Al Bayan fi Tafsir Al Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan. 

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al Qurtubi dalam kitab tafsirnya Al Jamia li Ahkam Al Qur’an, Juz XII hal. 229. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi S.A.W sedangkan Baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Quran.

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah  kepada Asma’ binti Abu Bakar, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya” [HR Abu Dawud] 

Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life) 

Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu :
- libaas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan;
- libaas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka melebarkan jilbabnya” [Al Ahzab:59]. 

Oleh sebab Al Quran berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al Mu’jam Al Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats tsaubul musytamil ala al jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al mula’ah asy tamilu biha al mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita). 

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar lalu dilebarkan sehingga ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada. 

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [An Nur:31]. 

Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan 'am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. 

Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti. 
dari Laman Tarbawi

Thursday, June 28, 2012

BERHATI-HATI KETIKA MEMBELI MAKANAN RINGAN

Saya nasihatkan kepada pembaca sekalian, agar berhati-hati membeli bahan makanan, kadang-kadang apa yang kita beli mengandungi bahan yang diharamkan. Sebelum membeli, perhatian dan baca isi kandungan (ingridient)nya, bimbang-bimbang kita terbeli yang haram. Kadang-kadang ada pasaraya yang tidak sensitif yang mencampurkan barangan halal dengan haram , seperti gambar di bawah, saya dapati biskut ini disebuah pasaraya , diletakkan  secara bercampur antara halal dan haram tanpa label.


Wednesday, June 27, 2012

AMALI SEMBELIHAN TING 4, 2012

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR PROGRAM -SIRI 2

Juara paling banyak sembelih ayam- 7 ekor, tahniah.
juga merangkap penyembelih paling bergaya...

Bahagian proses cabut bulu. Bukan bulu sahaja yang dicabut, dengan kulit-kulit sekali diaorang kerjakan, tak tahu la nak cakap apa......

"Apa sudah jadi dengan ayam ni?" mungkin itu la kata ustazah Patimah

"kalau panggang , sedap ni"


AMALI SEMBELIHAN TINGKATAN 4, 2012

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR PROGRAM
cara memegang ayam dengan betul

sembelihan dilakukan ," semua pelajar tengok, lepas ni giliran kamu semua"

bergaya bersama ayam sebelum sembelihan

alhamdulillah......nanti check semula, putus ke tidak halkum dan urat merihnya.
 pelajar seterusnya, gaya sembelihan sambil senyum...
 sembelihan gaya terbaru.... Sembelih sambil tutup mata.

Monday, June 25, 2012

BERFACEBOOK DAN ONLINE!!!

 


** PENTING...!!!!

Alhamdullilah, semalam dapat duduk sebilik dengan seorang aktivis keselamatan Capt. Bala Supramaniam. Kalau anda pernah tgk video-video kekejaman di Palestine dan Syria, jgn ingat anda jauh dari kekejaman seperti itu.


Nauzubillah min zalik, ianya berlaku didalam negara kita sendiri, mungkin tidak jauh dari tempat anda tinggal.

Kami ditayangkan dengan gambar-gambar kejadian rogol, bunuh dan buang oleh ramai mangsa yang anda tak akan dapat lihar didalam Metro atau KOSMO.


Yang menyayat hati banyak mangsa-mangsa adalah kanak-kanak, ada yang besar2 anak saya sendiri. Tenunglah anak perempuan anda sekarang, bayangkan dada mereka ditoreh, pungung dikerjakan, disumbat mulut dengan kertas, beras, kemaluan disumbat dengan benda-benda. Ni bukan rekaan tuan-tuan dan puan-puan. Saya tengok gambar tu dengan mata saya sendiri.


Yang lebih menyedihkan 80% mereka yang ditangkap terlepas, kerana tidak cukup bukti untuk didakwa dan ditahan didalam penjara.


Jadi awas tuan-tuan dan puan-puan, dikalangan kita ada perogol, pedophiles, pembunuh bersiri yang bebas mencari peluang utk bertindak.


Dan mereka ni bukan orang kurang siuman. Semuanya bijak belaka. Mereka mengunakan kaedah seperti PHISING dan reverse phsycology utk mendapatkan maklumat peribadi kita.


Jadi anda boleh membuat perbezaan. Saya nak sarankan beberapa perkara mudah di FB yang InsyaAllah boleh menyelamatkan nyawa anda dan keluarga anda.


1. REMOVE semua maklumat berkenaan suami, isteri, anak, ibu, bapa, pakcik yang kita publish di Facebook. Tak perlu unfriend mereka, hanya tukar relationship sahaja.


2.JANGAN post gambar anda, anak-anak, keluarga dan sahabat handai. Jika perlu tetapkan setting SECURITY pada kiriminan. Tentukan org-org yg hanya boleh melihat gambar tersebut.


3. Aktifkan option untuk review TAG. Ada didalam ruangan Setting. Pilihan ini akan meminta anda utk approve gambar, post yang anda telah di tag.


Jadi ini akan memberikan anda ruang untuk menilai kiriman tersebut samanda ianya akan mengamcam keselamatan


4. JANGAN lah nak bersayang-sayang, aniversary di FB. Buat offline sahajalah.Tindakan seperti ini akan memberitahu siapa orang kesayangan anda dan boleh jadi target


5. HENTIKAN post yang boleh menunjukan anda bersendiri. Sperti "Boringnya, sorang-sorang kat rumah" atau "I nak tido kejap"


6. MATIKAN fungi geo-location pada pengguna Android atau iPhone. Fungsi ini boleh mndedahkan lokasi anda.


7. Review friendlist adan dngan kerap. Ingat 80% penjenayah ni masih terlepas.


8. REMOVE no telefon dari FB. Kerana penguna Android boleh nampak no telefon anda


9. Gambo profile letak lah yang sopan santun


10. REVIEW semula album FB anda. Mana gambar yg tak patutu delete sahaja !


* Nampak paranoid, tapi kalau korang tgk sendiri baru korang tau. Jangan salahkan pihak berkuasa. Kita sendiri yg expose maklumat peribadi.


sumber: Khairul Amree

Monday, June 18, 2012

SHURA DAN MAPIM LANCAR TABUNG BANTUAN ROHINGYA


Harakahdaily,18 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Persidangan Tergempar Ulama Asean yang bersidang pada 16 Jun di Kuin , Alor Setar dihadhiri oleh wakil ulama dari Malaysia, Kemboja, Indonesia, Thailand telah melancarkan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya (TMR) untuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa keganasan etnik di Arakan.

“Tabung ini adalah di bawah pengendalian Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan beberapa NGO Islam yang lain yang bersetuju untuk segera bekerja mengumpul dana kemanusiaan untuk dihantar kepada mangsa Rohingya,” kata setiausaha kedua-dua NGO itu, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, tabung itu bertujuan untuk mengembleng rakyat Malaysia segera menyumbang bagi membela nasib warga Rohingya yang kini menderita akibat serangan etnik Rakhine yang mendapat sokongan dari pihak keselamatan Myanmar.


Menurutnya, sehingga ini lebih 1,000 rumah di 40 perkampungan Rohingya sudah dibakar, 10 masjid dimusnahkan, 30,000 menjadi pelarian.

Malah, ujarnya testimoni yang diterima langsung dari Arakan Merali telefon ialah keganasan menjadi-jadi sehingga ke tahap memperkosa anak gadis, mencincang mayat dan dicampak ke dalam rumah yang dibakar, menyerbu ke dalam rumah etnik Rohingya, menangkap dan menembak mati seisi rumah.


Katanya, keadaan di sempadan Arakan-Bangladesh semakin meruncing bila pihak keselamatan Bangladesh tidak membenarkan ribuan pelarian Rohingya untuk masuk menyelamatkan diri dari serangan kaum Rakhine dan polis Hluntin Myanmar.

Justeru, ujarnya bot yang dipenuhi kanak-kanak, wanita, orang tua, dan yang cedera ditembak oleh tentera dan polis Myanmar dipaksa berpatah balik ke Arakan.

Mereka, jelasnya lagi menyabung nyawa kerana makanan dan ubatan tidak dibekal oleh mana-mana pihak sekalipun.


Setakat ini, katanya pihak UNHCR telah mengeluarkan petugas dari kawasan Arakan kerana didapati keadaan semakin merbahaya.

“Kami dengan ini mengumumkan bahawa sumbangan untuk TMR boleh disalurkan  kepada Akaun  Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia BIMBbernombor 12047010037282.


“Sidang ulama Asean ini juga telah memutuskan agar bantuan dari sumbangan orang ramai akan dihantar segera kepada mangsa dikalangan umat Islam Rohingya, Arakan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, rancangan sedang digerakkan untuk menghantar bantuan melalui kapal laut bagi memastikan pelarian mendapat bantuan makanan, ubatan secepat mungkin.


Justeru, ujarnya seluruh pertubuhan masyarakat yang cintakan kebenaran dan keadilan diseru agar melancarkan kutipan derma untuk pihak sekretariat Mapim dan Shura sampaikan kepada pihak yang beramanah amanah di Arakan.

Sunday, June 17, 2012

HIDAYAH ALLAH PERLU DICARI

http://khaulahalazwar-flagyl.blogspot.com 
Dengan nama Allah Yang Melapangkan hati ini..


Kisah benar yang terjadi pada seorang rakan facebook kita. Baru terjadi Februari 2012. Diceritakan sendiri kepada saya.

Ini ceritanya:

"Bulan lepas saya mengikuti kursus motivasi agama selama dua hari. Saya sebagaimana biasanya mengenakan tudung biasa yang ringkas, tapi masih lagi menutup aurat, masih tutup dada dengan baik. Pada hari terakhir kursus tersebut, habis sahaja sesi yang pertama, dalam keramaian hadirin tiba-tiba saya terpandang satu kelibat. Orangnya kecil molek dan bertudung labuh.

Hati ini tiba-tiba rasa kuat tertarik dengan kelibat tersebut. Seakan-akan dari susuk tubuh tersebut menghasilkan aura yang sangat kuat. Cukup untuk menggamit hati saya untuk menyelidiki siapakah gerangan orang itu. Dalam kesibukan hadirin yang berhimpit-himpit, saya cuba menyelit untuk mendekati beliau. Akhirnya, saya nampak beliau tengah pakai kasut, lepas tu pergi macam tu sahaja. Rasa sedikit hampa kerana tidak berjaya untuk menghuraikan persoalan 'siapa' dengan lebih lanjut.

Sesi kedua kursus bermula, saya langsung tak fikir lagi atau ingat tentang orang misteri tadi. Sedaya saya cuba fokus pada slot kursus. Slot motivasi yang disampaikan betul-betul terkesan di hati, lantas jiwa wanita ini tidak lagi mampu menahan takungan air mata dari terurai jatuh ke pipi. Cepat-cepat saya mengelap air mata dan mengalihkan pandangan ke sebelah kiri.

Saya tergamam. Allahuakbar!

Ada someone di sebelah kiri saya. Kelibat yang saya nampak tadi. Kelibat yang sama. Kecil bertudung labuh dan yang paling memeranjatkan saya adalah rupanya saling tak tumpah seperti saya. Seiras dan sama! Seratus percents!

Bezanya, beliau memakai cermin mata dan wajahnya redup berseri-seri. Sehingga terpacul dari bibir saya "Subhanallah..sucinya wajah." Badan saya terus menggigil dan saya menangis tersedu-sedan dalam dewan tanpa mempedulikan mata-mata yang melihat.

Dua minggu lepas tu, hati ini nekad.

Saya berhijrah. Dari tudung biasa ke tudung labuh. Tambah pelik, rupa-rupanya dulu saya ada buat pemeriksaan mata di hospital tapi mungkin saya lupa dan minggu lepas doktor call inform saya ke sana untuk mengambil cermin mata yang telah siap. Sekarang, bila saya lihat ke cermin, sayalah gadis yang bercermin mata dan bertudung labuh tempoh hari.

Saya bukanlah pelajar sekolah agama atau dari aliran agama. Tudung labuh yang menggantikan tudung biasa ini, bukan hanya sekadar tudung labuh. Tetapi lebih dari itu, ia adalah hidayah dari Allah SWT. Bukan sahaja menggantikan penutup kepala saya, tetapi juga hidayah Allah ini menghadirkan suatu perasaan baru dalam jiwa saya, yakni perasaan untuk lebih mencintai Allah. Hebatnya hidayah Allah ini. Allah.."

Sama-sama kita doakan sahabat kita ini terus istiqamah dalam penghijrahannya. Amin.

p/s: Moga2 kisah benar ini menjadi iktibar kepada kita semua. Hidayah perlu diminta dari Allah setiap masa, hidayah perlu dicari. Hanya yang benar-benar menghendakinya akan memperolehi. Allah pasti berikan hidayah bagi mereka yang benar-benar dahagakan hidayahNya. Wallahua'alam.

Thursday, June 14, 2012

KEKEJAMAN TERHADAP SAUDARA KITA DI MYANMAR

"YA ALLAH, ENGKAU TOLONGLAH SELAMATKAN SAUDARA-SAUDARA ROHINYA KAMI, HANCURKAN LAH GOLONGAN KUFFAR. ENGKAU BALASLAH SETIAP PERBUATAN MEREKA TERHADAP UMATMU, YA ALLAH TOLONGLAH KAMI"

MOHON SETIAP ORANG ISLAM , DIRIKANLAH SOLAT HAJAT MEMOHON ALLAH MEMBERIKAN PERTOLONGAN DAN KEKUATAN KEPADA PEJUANG ISLAM YANG MENGHADAPI UJIAN DAN KEKEJAMAN DI SYRIA DAN MYANMAR

Photos of Arakan Riot