Alhamdulillah, ahlan wasahlan ya Ramadhan, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kesempatan masa dan umur kepada kita untuk bersama-sama bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan iaitu Ramadhan..
Muslimin muslimat yang dimuliakan Allah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa tahun ini. Saya juga menyeru semua umat Islam agar meningkatkan tahap puasa masing-masing . Bagaimana kita mahu mencapai nilai taqwa yang menjadi matlamat utama daripada ibadat puasa tersebut? Bagaimana pula puasa yang kita telah laksanakan padab tahun-tahun sebelum ini, adakah ianya telah meningkatkan nilai taqwa dalam diri masing-masing? Soalan ini boleh dijawab oleh diri masing-masing. Sabda nabi s.a.w. yang bermaksud ;
Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu.
Allah s.w.t menjadi kita dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kemudian kita kotori jiwa dan fitrah kejadian yang suci itu dengan segala macam dosa dan maksiat, maka Ramadhan datang saban tahun berfungsi untuk mengembalikan kita semula kepada fitrah yang suci tersebut dengan syarat puasa yang kita laksanakan mengikut puasa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukannya sekadar adat kebiasaan sahaja, iaitu memenuhi beberapa syarat:
- Niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah
- Meningggalkan makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa
- Menjaga lidah (percakapan) daripada melakukan dosa seperti umpatan, cacian , perkataan yang sia-sia dan lain-lain.
- Menjaga anggota (perbuatan) daripada perbuatan dosa seperti bergaduh, berjudi, memikat perempuan dan lain-lain.
- Penuhi masa kita di siang hari dengan banyak berzikir, membaca al-Quran, selawat, saling nasihat-menasihati ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
- Penuhi malam hari dengan menunaikan solat sunat Tarawih, tadarrus al-Quran dan qiamullail.
- Perbanyakan amalan bersedekah seperti menjamu orang berbuka puasa dan menghulurkan sedekah kepada fakir miskin selain daripada membayar zakat fitrah yang diwajibkan.
Marilah kita meningkatkan tahap puasa di tahap yang kedua iaitu puasa orang khusus agar puasa kita tidak menjadi sia-sia.
Bulan ramadhan juga mengajar kita tentang semangat ukhuwwah islamiah. Kita diajar berlapar dan dahaga seharian untuk merasakan apa yang dialami oleh saudara-saudara seislam kita sama ada dalam mahupun luar negara. Dalam negara kita masih ramai umat Islam yang miskin, kais pagi makan pagi , kais petang makan petang, yang terlibat dengan bencana alam seperti banjir di pasir putih, mangsa kebakaran dan lain-lain lagi. Begitu juga nasib umat Islam diseluruh dunia yang terlibat dengan peperangan seperti Afganistan, Iraq dan Palestin. Ada di antara mereka yang tidak makan beberapa hari. Puasa mengajar kita bersimpati dengan cara menolong mereka mengikut kadar kemampuan masing-masing. Jika kita orang yang kaya dan berada , maka kita boleh membantu mereka dengan menyalurkan derma seperti wang ringgit, bahan-bahan keperluan asas seperti beras dan lain-lain. Jika kita golongan yang tidak mampu, maka sebagai seorang muslim , jangan kita lupa untuk memanjatkan doa agar mereka diberikan pertolongan oleh Allah. Setiap sedekah dan bantuan yang kita berikan akan diganjari oleh Allah dengan berlipat kali ganda apatah lagi jika ianya dilakukan pada bulan Ramadhan .
Puasa juga merupakan bulan kita kembali kepada al-Quran. Mungkin kita sangat jarang bersama dengan al-Quran sebelum ini, mengambil sikap endah tak endah dengan al-Quran, bahkan mungkin ada di atara kita tidak membaca al-Quran pun seumur hidupnya sebelum ini atau jarang-jarang mentadabbur (membaca dan mengambil pengajaran) al-Quran. Oleh kita , marilah kita kembali kepada kitab petunjuk sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Bulan Ramadhan yang pada diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk kepada umat manusia, yang menerangkan tentang petunjuk dan pembeza antara hak (kebenaran) dan kebatilan
Bagaimana kita mampu memperolehi petunjuk Al-Quran , jika kita sendiri tidak pernah membacanya.
Manusia semakin jauh dari al-Quran. Masalah akidah dengan pelbagai ajaran songsang fahaman sekularisme , ajaran dan kepercayaan sesat, pemikiran Islam liberal dan gejala murtad . Masalah sosial dengan gejala zina dalam kalangan remaja, berita pembuangan anak yang berlaku saban hari, sumbang mahram dan lain-lain lagi. Masyarakat juga hidup dalam ketakutan kerana keadaan jenayah yang tidak terkawal, kejadian rompakan yang mengerunkan , kes-kes kecurian yang tidak ada penghujungnya ditambah lagi dengan kes-kes pembunuhan yang semakin berani. Anak-anak gadis juga semakin terdedah diculik dan menjadi mangsa rogol. Pelbagai masalah yang berlaku dalam negara kita adalah berpunca daripada kegagalan kita memahami dan melaksanakan al-Quran dalam kehidupan. Pelbagai peraturan dan hukum yang terkandung di dalam al-Quran adalah merupakan penyelesaian muktamad segala masalah yang berlaku pada hari ini. Kenapa? Kerana Allah yang mencipta manusia dan seluruh ala mini , maka Allah jugalah yang tahu kelemahan dan jalan penyelesaian segala masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Kenapa kita masih gagal memahami mesej penting ini?
Sempena ramadhan ni, marilah kita kembali mendaulatkan Islam dan al-Quran dalam kehidupan. Di samping kita menganjurkan majlis tadarrus , maka kita tambahkan dengan sesi tafsir dan membaca pengertian ayat-ayat yang dibaca. Jemputlah para alim ulama dan ustaz/ustazah yang berada disekeliling kita untuk memberi kefahaman berkaitan dengan al-Quran. Suburkan budaya nasihat-menasihati dengan mengadakan sesi-sesi tazkirah sebelum atau selepas solat tarawih, mudah-mudahan dengan itu, kita memperolehi ilmu yang memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita sebagai mukmin dan muslim yang sejati, dan dapat pula mengamalkan dalam sisa hidup kita yang masih berbaki.
Wassalam. Selamat berpuasa
No comments:
Post a Comment