Sunday, July 31, 2011

BERSEDIA MENGHADAPI PEPERIKSAAN EXCEL 2

Bermula  8 Ogos ni, peperiksaan excel 2 akan bermula. Ustaz harap semua pelajar agar menyediakan diri untuk menghadapinya dari sudut mental dan fizikal. Walaupun kita sedang berpuasa pada bulan Ramadhan, ianya bukan alasan untuk kita menjadi lemah dan malas belajar. Daripada pengamatan sebelum ini, didapati ramai pelajar suka membuang masa, bercakap kosong dan lain-lain lagi kelakuan yang tidak berfaedah. Apakah masuk peperiksaan , markah yang diperolehi rendah dan kadang-kadang tidak lulus. Apabila ditanya, soalan susah , keliru dan pelbagai lagi alasan yang kurang munasabah. Yang sebetulnya , kita kurang ulangkaji dan belajar. Oleh itu, masa masih ada untuk anda menelaah dan berbincang dalam kumpulan tentang tajuk-tajuk penting yang telah dipelajari , mudah-mudahan ustaz harap semua pelajar ustaz memperolehi kelulusan yang baik nanti, insya Allah, jangan jadi macam dalam gambar ni, bila tak boleh jawab , tidur je kerjanya......

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK


 Alhamdulillah, ahlan wasahlan ya Ramadhan, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kesempatan masa dan umur kepada kita untuk bersama-sama bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan iaitu Ramadhan..

Muslimin muslimat yang dimuliakan Allah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa tahun ini. Saya juga menyeru semua umat Islam agar meningkatkan tahap puasa masing-masing . Bagaimana kita mahu mencapai nilai taqwa yang menjadi matlamat utama daripada ibadat puasa tersebut? Bagaimana pula puasa yang kita telah laksanakan padab tahun-tahun sebelum ini, adakah ianya telah meningkatkan nilai taqwa dalam diri masing-masing? Soalan ini boleh dijawab oleh diri masing-masing. Sabda nabi s.a.w. yang bermaksud ;
Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu.

Allah s.w.t menjadi kita dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kemudian kita kotori jiwa dan fitrah kejadian yang suci itu dengan segala macam dosa dan maksiat, maka Ramadhan datang saban tahun berfungsi untuk mengembalikan kita semula kepada fitrah yang suci tersebut dengan syarat puasa yang kita laksanakan mengikut puasa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukannya sekadar adat kebiasaan sahaja, iaitu memenuhi beberapa syarat:
  1. Niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah 
  2. Meningggalkan makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa 
  3.  Menjaga lidah (percakapan) daripada melakukan dosa seperti umpatan, cacian , perkataan yang sia-sia dan lain-lain. 
  4. Menjaga anggota (perbuatan) daripada perbuatan dosa seperti bergaduh, berjudi, memikat perempuan dan lain-lain.
  5. Penuhi masa kita di siang hari dengan banyak berzikir, membaca al-Quran, selawat, saling nasihat-menasihati ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. 
  6. Penuhi malam hari dengan menunaikan solat sunat Tarawih, tadarrus al-Quran dan  qiamullail. 
  7. Perbanyakan amalan bersedekah seperti menjamu orang berbuka puasa dan menghulurkan sedekah kepada fakir miskin selain daripada membayar zakat fitrah yang diwajibkan.

Marilah kita meningkatkan tahap puasa di tahap yang kedua iaitu puasa orang khusus agar puasa kita tidak menjadi sia-sia.

Bulan ramadhan juga mengajar kita tentang semangat ukhuwwah islamiah. Kita diajar berlapar dan dahaga seharian untuk merasakan apa yang dialami oleh saudara-saudara seislam kita sama ada dalam mahupun luar negara. Dalam negara kita masih ramai umat Islam yang miskin, kais pagi makan pagi , kais petang makan petang, yang terlibat dengan bencana alam seperti banjir di pasir putih, mangsa kebakaran dan lain-lain lagi. Begitu juga  nasib umat Islam diseluruh dunia yang terlibat dengan peperangan seperti Afganistan, Iraq dan Palestin. Ada di antara mereka yang tidak makan beberapa hari. Puasa mengajar kita bersimpati dengan cara menolong mereka mengikut kadar kemampuan masing-masing. Jika kita orang yang kaya dan berada , maka kita boleh membantu mereka dengan menyalurkan derma seperti wang ringgit, bahan-bahan keperluan asas seperti beras dan lain-lain. Jika kita golongan yang tidak mampu, maka sebagai seorang muslim , jangan kita lupa untuk memanjatkan doa agar mereka diberikan pertolongan oleh Allah. Setiap sedekah dan bantuan yang kita berikan akan diganjari oleh Allah dengan berlipat kali ganda apatah lagi jika ianya dilakukan pada bulan Ramadhan .

Puasa juga merupakan bulan kita kembali kepada al-Quran. Mungkin kita sangat jarang bersama dengan al-Quran sebelum ini, mengambil sikap endah tak endah dengan al-Quran, bahkan mungkin ada di atara kita tidak membaca al-Quran pun seumur hidupnya sebelum ini atau jarang-jarang mentadabbur (membaca dan mengambil pengajaran) al-Quran. Oleh kita , marilah kita kembali kepada kitab petunjuk sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Bulan Ramadhan  yang pada diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk kepada umat manusia, yang menerangkan tentang petunjuk dan pembeza antara hak (kebenaran) dan kebatilan
Bagaimana kita mampu memperolehi petunjuk Al-Quran , jika kita sendiri tidak pernah membacanya.

Manusia semakin jauh dari al-Quran. Masalah akidah dengan pelbagai ajaran songsang fahaman sekularisme , ajaran dan kepercayaan sesat, pemikiran Islam liberal dan gejala murtad . Masalah sosial dengan gejala zina dalam kalangan remaja, berita pembuangan anak yang berlaku saban hari, sumbang mahram dan lain-lain lagi. Masyarakat juga hidup dalam ketakutan kerana keadaan jenayah yang tidak terkawal, kejadian rompakan yang mengerunkan , kes-kes kecurian yang tidak ada penghujungnya ditambah lagi dengan kes-kes pembunuhan yang semakin berani. Anak-anak gadis juga semakin terdedah diculik dan menjadi mangsa rogol. Pelbagai masalah yang berlaku dalam negara kita adalah berpunca daripada kegagalan kita memahami dan melaksanakan al-Quran dalam kehidupan. Pelbagai peraturan dan hukum yang terkandung di dalam al-Quran adalah merupakan penyelesaian muktamad segala masalah yang berlaku pada hari ini. Kenapa? Kerana Allah yang mencipta manusia dan seluruh ala mini , maka Allah jugalah yang tahu kelemahan dan jalan penyelesaian segala masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia. Kenapa kita masih gagal memahami mesej penting ini?

Sempena ramadhan ni, marilah kita kembali mendaulatkan Islam dan al-Quran dalam kehidupan. Di samping kita menganjurkan majlis tadarrus , maka kita tambahkan dengan sesi tafsir dan membaca pengertian ayat-ayat yang dibaca. Jemputlah para alim ulama dan ustaz/ustazah yang berada disekeliling kita untuk memberi kefahaman berkaitan dengan al-Quran.  Suburkan budaya nasihat-menasihati dengan mengadakan sesi-sesi tazkirah sebelum atau selepas solat tarawih, mudah-mudahan dengan itu, kita memperolehi ilmu yang memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita sebagai mukmin dan muslim yang sejati, dan dapat pula mengamalkan dalam sisa hidup kita yang masih berbaki.

Wassalam. Selamat berpuasa

Monday, July 18, 2011

TEKNIK MENULIS JAWI DENGAN CEPAT


1.      Beberapa teknik boleh diigunakan untuk menulis jawi, idea ini adalah daripada pemeriksa kertas Negeri Melaka. Ustaz taipkan semula agar semua boleh berkongsi manfaatnya. Artikel ini bersesuaian jika anda:
  1. Mengenal huruf jawi dari alif sampai ya. (boleh rujuk dengan kawan-kawan)
  2. Tidak pernah menulis jawi dengan betul.
LANGKAH-LANGKAH
  • Tukaran tulisan rumi kepada jawi satu persatu contohnya perkataan "basikal"

  • Selepas itu sambungkan semula tulisan dari perkataan pertama 
  • Vokal ‘e’ dalam tulisan jawi adalah perkataan itu sendiri
  • Jika ada imbuhan di akhir perkataan, maka dipotong ‘a’sebelum ‘n’ (tidak ditulis 'alif') 
  •  Perkataan yang mempunyai vocal ‘a’ dikira hanya pada dua sukukata,jika melebihi dua sukukata seperti ‘kal’ dan ‘mat’ maka dibuang ‘a’nya (tidak ditulis 'alif') contoh:
* anda boleh cuba praktikkan di rumah masing-masing, yang penting adalah latih tubi yang berulang kali sekurang-kurangnya 3 perkataan sehari. Paling baik ialah mengambil perkataan yang ada dalam buku teks kerana kebiasaannya soalan jawi dalam SPM diambil dari buku teks.

* peringatan - huruf jawi yang tidak boleh disambung selepasnya:


- Insya Allah , tutor ini akan bersambung di lain kali.

Sunday, July 17, 2011

BERSUKAN DENGAN PENUH ADAB

       Selamat bersukan ustaz ucapkan kepada semua pelajar yang terlibat terutama kepada atlit rumah sukan masing-masing khususnya lagi kepada atlit rumah sukan Tun Fatimah. Ustaz juga mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar (Islam) yang menutup aurat dan menjaga kehormatan diri dengan tidak memakai pakaian yang ketat dan mencolok mata. Walaupun begitu masih ada beberapa orang yang masih degil, kadang-kadang menyelinap dalam kelompok pelajar lain membuka aurat dengan alasan panas, gatal dan lain-lain.
     Sebenarnya tiada alasan bagi seorang muslimah mengengkari arahan Allah ini. Dengan segala nikmat kesihatan dan rezeki yang Allah bagi jugalah kita mempunyai tenaga dan upaya untuk bersukan, jika Allah mentaqdirkan kita sakit, mana mungkin kita boleh berlari , melontar peluru dan lain-lain. Jika Allah mentaqdirkan kita kehilangan anggota badan dalam kemalangan dan sebagainya, kita juga tidak akan mampu bersukan. Maka, bersyukurlah nikmat kesihatan yang diberi Allah, dengan menuruti setiap perintahNya. Carilah keredhaan Allah lebih daripada keredhaan manusia, kerana keredhaan Allah meliputi dunia dan akhirat, sedangkan keredhaan manusia hanya di dunia sahaja. Kita semua akan berhadapan dengan Allah atas segala perkara yang kita lakukan sama ada baik atau jahat.

Oleh itu, segala baik dan buruk kitalah yang akan menanggungnya, bukannya manusia yang menyuruh kita membuka aurat dan memakai pakaian menjolok mata. Harap semua pelajar boleh ambil perhatian.

Sunday, July 10, 2011

PMR: TAJUK YANG TIDAK PERNAH KELUAR DALAM PEPERIKSAAN DARI TAHUN 2006-2010 ( 5 TAHUN)


TAJUK/
TINGKATAN
TILAWAH
HADIS
AKIDAH
IBADAT
SIRAH
ADAB
TING 1
3.        Berbudi dan berbakti cara hidup mukmin
4.        Sabar menghadapi ujian Allah
7. Arak dan judi memusnahkan kehidupan.

11.     PENGENALAN HADIS.
14. Konsep akidah
18. Dalil Kewujudan Allah
23. Solat sunat tahiyatul masjid dan Rawatib
25. Riwayat hidup rasulullah
27. strategi perjuangan rasulullah di Mekah
32. abad bergaul dengan ibubapa
33. Adab bergaul dengan keluarga
34. Adab berguru
35. Adab menjaga harta sekolah
TING 2
8. Mencontohi dakwah Rasulullah

12.     Kesan beriman kepada Allah

19. Saidina Umar
20. Saidina Usman Affan.
22. Saidina Hamzah.
23. Abu Hurairah
24. Abdul Rahman
31.Menjaga kesucian mashaf
32. Doa penyeri kehidupan.
33. Wawasan beribadat

TING 3
2. Menyakini hari kebangkitan
3. Memanfaatkan anugerah Allah

10. Beriman kepada Qada’dan Qadar
12. Solat Aidil Fitri dan Aidil Adha
14.Solat sunat Tahajjud
19. Pembukaan kota Mekah



TAJUK YANG PALING KERAP KELUAR DALAM PEPERIKSAAN DARI TAHUN 2005-2010 ( 6 TAHUN)
TAJUK/
TINGKATAN
TILAWAH
HADIS
AKIDAH
IBADAT
SIRAH
ADAB
TING 1


10. SIFAT-SIFAT ALLAH
19. FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH
21. SOLAT
29. KEUNGGULAN PERJUANGAN TOKOH-TOKOH ISLAM

TING 2


11.     BERIMAN KEPADA MALAIKAT
12.     SOLAT QASAR DAN JAMAK
16.     PUASA
18.     ZAKAT FITRAH


TING 3
6. AMALAN MUKMIN CEMERLANG

9. BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

17. KEUNGGULAN PERJUANGAN TOKOH-TOKOH ISLAM
20. ADAB DALAM HUB. SOSIAL.
21. ADAB TERHADAP IBU BAPA.

TAJUK YANG KELUAR TAHUN 2010


TAJUK/
TINGKATAN
TILAWAH
HADIS
AKIDAH
IBADAT
SIRAH
ADAB
TING 1


10. SIFAT-SIFAT ALLAH
16.KONSEP MUSLIM DAN MUKMIN
19. FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH
24. MASY ARAB SEBELUM DAN SELEPAS ISLAM
29. KEUNGGULAN PERJUANGAN TOKOH-TOKOH ISLAM
35. ADAB MENUNTUT ILMU
TING 2
2. ILMU PENYULUH KEHIDUPAN
3. MENGINSAFI KEKUASAAN ALLAH

10.SEDEKAH PEMANGKIN KESEJAHTERAAN
14. BERIMAN KEPADA KITAB SUCI
14.     SOLAT QASAR DAN JAMAK
15.     PUASA
18. ZAKAT FITRAH


30. MEMELIHARA KESUCIAN MASJID DAN SURAU
TING 3
1.        MEMOHON KEAMPUNA DAN RAHMAT ALLAH
7. IHSAN TERHADAP BINATANG.
9. BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT.


21. ADAB TERHADAP IBU BAPA
22. ADAB BERPIDATO


Tuesday, July 5, 2011

HUKUM CABUTAN BERTUAH & BENTUK PERADUAN , PERTANDINGAN MODEN


Beberapa sahabat telah bertanya tentang hukum pertandingan bola sepak, futsal dan badminton yang mengenakan yuran dan yuran tersebut digunakan untuk membeli hadiah pemenang. Di sini saya titipkan tulisan ust. Zaharudin Abd Rahman tentang hukum beberapa perkara tersebut, mudah-mudahan bermanfaat untuk semua, juga dibalas Allah dengan kebaikan kepada penulisnya.

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Apa hukum cabutan bertuah? Adakah ianya judi?. Soalan sebegini agak banyak menerjah kotak email dan sistem sms 33221 saya. Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas ini saya cuba dedahkan beberapa bentuk dan hukum setiap satunya.
Namun sebelum kita melihat bentuk-bentuk semasa cabutan bertuah, jika dilihat dari sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat' atau ‘pertandingan'. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia akan jatuh dalam masalah judi ataupun gharar.
Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa "Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy" dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut :-
1) Disebabkan oleh jenis permainan : Iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .
2) Disebabkan oleh hadiahnya : iaitu apabila hadiahnya diambil dari kumpulan wang penyertaan semua peserta.
Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-
* Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.
* Mengambil harta orang lain dalam situasi 'mukhatarah' atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat.
* Disebutkan oleh ulama silam sebagai :-
هو كل لعب تردد بين غرم وغنم
Ertinya : "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" ( Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)
Disebutkan :-
إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء
Ertinya : Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari kumpulan yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib "qimar", dan kerana setiap peserta tidak sunyi dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan perengkaran"  (Al-Mughni, Ibn Qudamah )
Berdasarkan keputusan di atas, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi :-
1) Mereka yang ingin menyertai cabutan mestilah membayar yuran tertentu secara langsung iaitu : -
a- Secara tunai iaitu berdepan : iaitu dengan memberikan RM xxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza. Hukumnya tetap haram. (Al-Badai' Al-Sonai', Al-Kasani)
b- Secara tunai melalui alat telekomunikasi : bayaran dibuat disekalikan dengan kos telefon, internet, sms dan lain-lain. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon adalah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini, satu nombor telefon khas akan diberikan dan kos 1 minit juga lebih tinggi, iaitu RM 1. Kadar baru ini diberitahu secara jelas di awal kontrak.
c- Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM 100 yuran bagi seseiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi sesiapa yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanyalah RM 90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.
d- Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain ; Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu.
Hukum : haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.


2) Mereka yang ingin menyertai cabutan perlu membayar yuran secara tidak langsung iaitu:-
Yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi dari biasa. Sebagai contoh, pihak pasaraya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan tertentu yang telah dinaikkan harganya dari harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.
Jenis Cabutan Yang Halal
Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak aakan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih, tatkala itu tiada timbul isu memakan harta orang lain secara batil (salah) yang diharamkan oleh Allah swt. (Syarah Al-Zarkasyi Ala Mukhtasar Al-Hiraqi, 4/320 )  
Sebagai contoh :
a- Cabutan Bertuah Khas Untuk Pekerja : Semua pekerja layak untuk memasuki peraduan yang dianjurkan syarikat, hadiah istimewa disediakan. Tiada sebarang bayaran dikenakan.
Hukum : Ia adalah halal.
b- Cabutan di Majlis Makan Malam : Syarikat menganjurkan makan malam, dan semua kakitangan dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Ketika itu, cabutan bertuah dibuat sama ada cabutan bagi nombor meja, nombor kakitangan ataupun secara melekatkan tanda tertentu di bawah kerusi.
Hukum : Semuanya adalah halal dan tiada sebarang pihak menanggung kerugian.
c- Cabutan bertuah di pasaraya : Terdapat beberapa buah pasaraya yang melaksanakan promosi dengan menawarkan mana-mana pelanggan yang membeli barangan berharga lebih dari RM100 dalam satu resit, pelanggan tersebut akan diberikan borang untuk penyertaan cabutan bertuah, HARGA BARANGAN PULA KEKAL PADA HARGA BIASA.
Hukum : Cabutan ini adalah halal dan tiada unsur perjudian kerana pelanggan tiada kerugian apa-apa dan semua wangnya bukan untuk menyertai pertadningan cabutan ini tetapi untuk membeli barangan, dan demikian juga pihak pasaraya. Pelanggan membeli barangan pada harga asal dan tiada sebarang yuran dikenakan.
Permainan @ Peraduan Moden
Sebentar tadi kita telah membicarakan perihal cabutan bertuah yang haram dan yang halal. Terdapat beberapa ulama yang cuba menganggap permainan atau pertandingan yang beserta hadiah sebagai 'Wa'd Bi Tabarru' atau janji untuk bersedeqah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasfifikasikannya sebagai aqad mu'awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. ( Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini semua hukum akan berubah bentuknya. Di kesempatan ini saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita, ia seperti berikut :-
1) Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa menang dia akan memiliki hadiah itu.
Hukum : Para ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak yang mengeluarkan. Fatwa ulama seperti berikut ;-
a- Harus : Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
b- Haram : Ia adalah pendapat mazhab Maliki kerana wang RM 200 telah keluar dari miliknya dan jika ia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama 'qimar'.
Pendapat yang lebih kuat (rajih) :  adalah pendapat pertama yag mengharuskannya kerana wang RM200 itu adalah miliknya dan pihak kedua tidak terlibat dalam memberi sebarang wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada sebarang risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira seperti hadiah biasa sahaja dan bukan judi.
2) Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya.
Para ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai HARAM. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma' tentang pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/228 ; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489 ; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami', Ibn Rusyd, hlm 336)

3) Dua orang sedang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggan tenis.
Hal seperti ini telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi, hingga ia dicatatkan contoh sepertinya oleh ulama silam dengan kata :-
لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر
Ertinya : "Tidak harus ( haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya : Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"( Badai As-Sonaie; Al-Kasani)
Hukum : Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membyaar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.
Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/227 ; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177 ; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93 )   
4) Dua orang atau lebih sedang bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.
Hukum : Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.
5) Beberapa kumpulan ingin menganjurkan pertandingan bola sepak, namun tiada sebarang sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul dari yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.
Hukum : Ia adalah judi walaupun permainan bola sepak bukannya permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Namun unsur judinya datang dari bahagian kedua iaitu hadiah yang wang terkumpul semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi. Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya sebagai perjudian. Demikian juga jika ditinjau dari perspektif empat mazhab.
Tetapi jika hadiah datang dari sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama.
Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah saguhati?. Jawabnya, ia tetap judi sekiranya pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan yang tewas. Ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Tatkala itu pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan sahaja.
Ringkasnya para ulama bersepakat bahawa setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil dari wang itu, semuanya adalah judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.
6)        Membeli surat khabar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.
Hukum : Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwakannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seeprti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu'asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003 )  
Keharusan ini adalah kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat surta khabar, kecualilah jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.
Keismpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah jika :-

1. Hadiah di dermakan oleh pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan. Manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.

2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta sahaja, manakala yang lain digunakan untuk kegunaan pentadbiran pertandingan

Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan keterlibatan mereka dalam perjudian tanpa disangka.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
25 Mac 2008