Pages

Monday, August 22, 2011

ADAB BERHARI RAYA- HUKUM HAKAM BERKAITANNYA


Oleh : Mohamad Abdul Kadir Sahak
1.    Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
2.    Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri dan sebaliknya untuk ‘Aid al-Adha
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari : 2/446)
3.    Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :
وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
Daripada al-Walid bin Muslim katanya : “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua : “Ya, adalah ‘Abdullah bin ‘Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibn ‘Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibn Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya : “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, Apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 2/121)
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf, sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibn Abi Syaibah, ‘Abdul Razak dan al-Firyabi dalam kitabnya Ahkam al-‘Iedain menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata : “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari  pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4.    Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz :
اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ لَا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada ilah melainkan Allah dan Allah yang maha besar, Allah yang masa besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahaamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibn Mas’ud :
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ ، اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar dan yang maha agung, Allah yang maha besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa’ al-Ghalil : 3/126)
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasa-pasar.
5.    Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata : “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibn Hajar berkata : Isnad (riwayat ini ) Hasan. (Fath al-Bari : 2/446)
6.    Bercantik di Hari raya
Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa seperti sabda Nabi saw :
وليخرجن تَفِلات
Maksudnya : “Dan hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian (berpakaian biasa dan tidak bertabarruj).”
7.    Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.’anhuma katanya :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya : “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (al-Bukhari : 986)
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini
i.    Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii.    Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii.    Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv.    Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v.    Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.
8.    Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya, sebahagian mengatakan hukumnya sunat, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ‘ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdillah bin Baz menyebut : “Pendapat ini lebih terserlah pada dalil-dalilnya dan lebih hampir kepada kebenaran.”
Cara-caranya (kaifiyatnya) Solat Hari Raya.
-    Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit dari para sahabat Nabi saw, dan tidak ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
-    Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-‘Ala (سبح اسم ربك الأعلى) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasiah (هل أتاك حديث الغاشية) berdasarkan hadith riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadith riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi saw.
-    Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka orang-orang yang hadir solat hari raya dia boleh memilih samaada hendak hadir atau tidak pada solat Jumaat. Jika dia memilih untuk tidak hadir, dia hendaklah menunaikan solat Zohor.
-    Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah
Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma :
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
-    Keringanan meninggalkan khutbah bagi yang mahu
Daripada Abdullah bin Sa-ib (عبد الله بن السائب) katanya : “Aku menyaksikan hari raya bersama Nabi saw, apabila selesai solat (hari raya) baginda bersabda : “Sesungguhnya kami akan berkhutbah, maka sesiapa yang hendak mendengar khutbah duduklah, dan sesiapa yang hendak pergi (tidak mendengar khutbah) bolehlah dia pergi.” (Irwa’ al-Ghalil : 3/96)
Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ : “Dan disunatkan bagi orang ramai untuk mendengar khutbah, dan bukanlah khutbah dan mendengarnya satu syarat sah solat hari raya, akan tetapi al-Syafie berkata : “Jika seseorang meninggalkan mendengar khutbah hari raya atau (khutbah) solat gerhana, atau (khutbah) solat al-Istisqa (minta hujan) atau khutbah haji atau dia bercakap ketika khutbah (yang disebut) atau dia berpaling lalu pergi meninggalkan khutbah, aku memakruhkannya dan dia tidak perlu mengulanginya.”
-    Khutbah raya dimulakan dengan memuji-muji Allah, tidak terdapat petunjuk dari Baginda saw memulakan khutbah dengan bertakbir. Al-Imam Ibn Qayyim berkata :
“Ramai (ulama) telah berbeza pendapat tentang pembukaan khutbah dua hari raya dan al-Istisqa (khutbah solat al-Istisqa), sebahagian mengatakan dibuka dengan bertakbir, yang lain pula mengatakan dibuka khutbah (solat) al-Istisqa dengan beristighfar, ada juga yang mengatakan dibuka dengan kalimat pujian, berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Inilah yang benar… kerana Nabi saw membuka semua khutbah baginda dengan kalimat pujian kepada Allah.”
-    Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya
Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari. Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan perkataan Ibn Battal (ابن بطال) : “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
Yazid bin Khamir berkata, Abdullah bin Yusr (عبد الله بن يسر) – sahabat Rasulullahs saw – telah keluar bersama orang ramai pada hari raya fitri atau Adha, dan beliau mengingkari kelewatan Imam (dari solat hari raya) dan berkata : “Sesungguhnya kami (para sahabat) telah selesaikan (solat hari raya) pada waktu ini” ketika itu adalah waktu al-Tasbih.
Yang dimaksudkan dengan waktu al-Tasbih itu ialah waktu solat sunat, setelah tamatnya waktu dilarang solat. (Sila lihat Fath al-Bari dan Sunan Abi Daud)
9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada ‘Ali bin Abi Tolib r.a. katanya : “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” (Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya). Kata al-Tirmizi : “Beramal dengan hadith ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (utk solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibn al-Munzir : “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” (al-Albani menghasankan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah)
10.    Wanita juga keluar menunaikan solat hari raya
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm ‘Atiyyah r.’anha katanya : “Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”
11.    Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadith Ibn ‘Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari :
وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya : “Adalah mereka (sahabat nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadith Nabi saw daripada Ibn ‘Abbas r.’anhuma :
من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
Maksudnya : “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”
Maka berdasarkan hadith ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.
Beberapa Kesalahan Yang Dilakukan Pada Hari Raya
1.    Anggapan sunat menghidupkan malam hari raya
Sebahagian orang ada yang beranggapan sunat menghidukan malam hari raya dengan melakukan ibadat-ibadat sunat seperti qiyam al-Lail dan seumpamanya. Anggapan ini adalah salah kerana tidak terdapat dari petunjuk Nabi saw. Adapun hadith yang menyebut tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya ini adalah dhoief ataupun lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi saw. Hadith tersebut ialah :
من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Maksudnya : “Siapa yang menghidupkan malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia lainnya).”
Hadith ini TIDAK SAHIH, ia datang dari 2 jalan periwayatan dimana salah satunya Maudhu’  atau PALSU dan salah satu lagi LEMAH. (Sila lihat Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhu’ah, oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani : 520-521)
Maka tidak disyariatkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan qiyam al-lail, melainkan bagi mereka yang sememangnya telah menjadi kebiasaannya menghidupkan malam-malam yang lain juga.
2.    Menziarahi Kubur pada 2 hari raya
Perbuatan sebahagian orang yang menjadikan awal pagi dua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang bertentangan dengan maksud dan syiar hari raya. Yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Perbuatan menziarahi kubur pada hari raya ini juga bertentangan dengan petunjuk Nabi saw dan perbuatan generasi awal umat Islam (al-Salaf) yang dididik oleh Baginda. Perbuatan ini dibimbangi termasuk di dalam larangan Nabi saw dari menjadikan tanah perkuburan sebagai sambutan hari raya, dimana jika dimaksudkan (sunat menziarahi kubur) pada waktu-waktu tertentu dan  ada pada musim-musim yang tertentu (seperti pada dua hari raya), maka perbuatan ini termasuk larangan menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat sambutan hari raya seperti yang disebut oleh para ulama. (Sila lihat Ahkam al-Jana-iz wa Bida’uha oleh al-Albani. m.s. 219 & 258)
wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment