Pages

Saturday, June 18, 2011

BERAMAL JARIAH TIDAK SEMESTINYA OLEH ORANG KAYA SAHAJA

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. " (surah Aali Imraan:92)

Ayat di atas adalah berkaitan dengan hukum waqaf dalam Islam . Apabila disebutkan waqaf ,maka tergambar bahawa waqaf itu ialah berkaitan dengan waqaf tanah untuk masjid, rumah-rumah kebaikan dan lain-lain lagi yang melibatkan kewangan dan perbelanjaan yang besar. Maka juga tergambar dalam kotak fikiran kita yang dapat melakukannya hanyalah orang yang kaya raya dan berada sahaja. Namun hakikatnya adalah sebaliknya. Waqaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak milknya kepada seseorang pengguna yang harus dan wujud.
Berdasarkan makna ini,maka semua orang yang mempunyai harta yang boleh digunakan boleh melakukan kebaikan dan amal jariah dengan mewaqafkan kepada orang lain.

Apabila turun ayat di atas , maka  ramai sahabat berlumba-lumba mewaqafkan harta masing-masing sehingga diberitakan bahawa lapan puluh sahabat nabi melakukan waqaf harta mereka. Instituti-institusi besar dalam dunia pendidikan Islam seperti Universiti al-Azhar Mesir juga didirikan dengan harta waqaf. Begitulah besarnya faedah waqaf.

Justeru , bagaimana kita mahu melakukan waqaf sedangkan harta kita tidak banyak? semua boleh melakukan amal jariah ini. Anda boleh mewaqafkan apa sahaja harta yang baik untuk orang lain, sebagai contoh para pelajar boleh mewaqafkan sebatang pen untuk digunakan oleh kawannya. Selama mana kawannya menggunakan pen itu untuk menulis ilmu , maka dia juga akan mendapat pahala. atau mewaqafkan al-quran atau surah yaasin untuk dibaca di masjid , maka dia akan mendapat juga jika dibaca orang. Selagi quran itu tidak hancur atau musnah, maka selama ianya dibaca orang yang mewaqafkan telah meninggalkan dunia, pahalanya tetap mengalir sampai ke alam kubur. Begitu juga mewaqafkan mozek untuk dipasang di masjid , maka selagi masjid itu digunakan untuk menunaikan solat , maka selama itulah kita akan mendapat pahalanya. Apalah ruginya kita membelikan sebuah al-Quran yang harganya sekitar RM20, atau surah yaasin RM3 atau sekeping mozek RM 3. Kadang-kadang duit-duit ini kita belanjakan ke jalan yang haram dan makruh lebih banyak daripada kita belanjakan ke arah kebaikan, contohnya ramai orang boleh menghabiskan duit membeli rokok puluhan ringgit seminggu, tetapi derma ke masjid setiap kali jumaat hanya seringgit (itupun kalau menderma), membeli CD lagu dan lain-lain pembaziran harta yang banyak berlaku.
Selain itu, boleh juga kita mewaqafkan harta -harta alih seperti pakaian, berus, periuk belanga bahkan juga buku-buku untuk digunakan oleh orang lain. Bahkan mewaqafkan harta untuk kegunaan di jalan Allah mendapat pahala yang sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
" Sesiapa yang mewaqafkan seekor kuda di jalan Allah kerana keimanannya kepada Allah dan kerana menunaikan janjinya,  maka segala makanan,minuman, tahi dan kencing kuda itu akan dimasukkan ke dalam timbangannya di hari kiamat" (dikira sebagai pahala). Hadis riwayat Bukhari.
Kesimpulannya, bahawa waqaf itu boleh dilakukan oleh semua orang bukan hanya kepada orang kaya sahaja, bahkan kita yang berpendapatan sederhana dan juga pelajar boleh melakukannya. Apa yang penting ialah kesungguhan kita menyediakan bekalan dan amal jariah untuk kehidupan selepas kematian yang lebih abadi .  Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment